Remaja Alami Detik Cemas, Tangan Tersepit Mesin Pengisar Ikan

Pasukan Bomba membawa mangsa bersama mesin berkenaan ke hospital untuk tindakan selanjutnya. - Gambar ihsan Bomba
LAHAD DATU - Seorang remaja perempuan cedera selepas tangannya tersepit mesin pengisar ikan, di sebuah restoran di Perdana Square, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa berusia 17 tahun itu dikatakan sedang bekerja apabila insiden berkenaan berlaku.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.17 tengah hari.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu ditugaskan ke lokasi kejadian.
“Sejurus tiba, pasukan mendapati tangan seorang mangsa perempuan tersepit di dalam mesin pengisar ikan.
“Mangsa dibawa bersama mesin berkenaan ke hospital kerana perlu menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Media diberitahu, operasi tersebut pada awalnya ditamatkan pada jam 1.46 tengah hari, namun disambung semula kerana pihak hospital memerlukan bantuan bomba untuk membuka mesin berkenaan.
“Tangan mangsa berjaya dilepaskan menggunakan peralatan khas, dan mangsa diberi rawatan lanjut oleh pihak hospital selepas itu.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.15 petang,” katanya. -