Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain menyaksikan upacara penyerahan tongkat kuasa antara bekas Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat (kiri) dengan penggantinya, CP Wan Hassan Wan Ahmad di IPK Kedah, hari ini.

Pengemis Rohingya Bersikap Biadap Boleh Dikenakan Tindakan
ALOR SETAR - Biarpun tiada laporan polis dibuat, etnik Rohingya yang mengemis secara biadap dan berbahaya di jalanan boleh dikenakan tindakan.Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain menegaskan, pihaknya sudah mengarahkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara untuk memantau perkara tersebut.
“Tindakan terhadap mereka (etnik Rohingya) ini boleh diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan dan Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil sama ada terdapat laporan polis atau tidak. Boleh diambil tindakan daripada laporan media.
“Seperti kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, undang-undang Malaysia ini tidak tertakluk kepada warganegara sahaja, sebaliknya terpakai kepada sesiapa sahaja yang melakukan jenayah termasuk kesalahan kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kedah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Kedah di IPK Kedah di sini, hari ini.
Majlis itu menyaksikan bekas Timbalan Pengarah (Integriti), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad dilantik sebagai Ketua Polis Kedah bagi menggantikan Datuk Kamarul Zaman Mamat yang bakal menyandang jawatan Ketua Polis Johor.
Isu pengemis dalam kalangan warga Rohingya hangat diperkatakan sejak minggu lalu selepas beberapa klip video yang memaparkan sikap biadap kanak-kanak etnik itu ketika mengemis tular di media sosial.
Selain menunjukkan isyarat lucah kepada orang awam, kanak-kanak terbabit cuba membuka pintu kereta individu yang merakam kegiatannya itu.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, kejadian membabitkan aktiviti etnik berkenaan berlaku di bandar besar, seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Mereka selalunya akan melakukan kegiatan itu di kawasan sesak, kebiasaannya di kawasan lampu isyarat.
“Peringkat umur yang meminta sedekah pula pelbagai, ada dewasa dan ada belasan tahun, itu kita tak boleh nafikan,” katanya.
Ditanya sama ada kegiatan mengutip sedekah dilakukan warga Rohingya itu didalangi sindiket, Razarudin tidak menolak kemungkinan terbabit.
“Ada kemungkinan, tetapi saya tak boleh nak sahkan lagi.
“Kita akan kumpul hasil siasatan dan risikan untuk meneliti perkara tersebut,” katanya.