PDRM Sedia Tambah Anggota Untuk PRN Johor - Timbalan KPN

Razarudin Husain - Gambar fail Bernama
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia menambah jumlah anggota dan pegawai di Johor bagi memastikan Pilihan Raya Negeri (PRN) berjalan dengan lancar.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain berkata, PDRM sentiasa bersiap siaga dalam apa jua keadaan untuk menjalankan tugas.
“PRN Johor akan diadakan dan saya sendiri telah bercakap dengan Ketua Polis Johor berkenaan persediaan anggota serta persediaan jumlah keanggotaan.
“Sekiranya keanggotaan tidak mencukupi, Bukit Aman akan bantu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat 17 Sempena Tahun Baharu Cina di Restoran Jejantas Sungai Buloh di sini, hari ini.
Jelas beliau, segala persiapan mengatur gerak akan ditentukan oleh pihak kontinjen Johor melalui ketua polisnya sendiri.
Katanya, prosedur operasi standard (SOP) semasa tempoh PRN akan dibincang bersama pihak berkaitan, termasuk jumlah pengundi yang ditetapkan bagi setiap saluran.
Pada Sabtu lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN.
PRN Johor diadakan, selepas Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad menghadap baginda di Istana Bukit Serene bagi memaklum sembah hasrat kerajaan negeri untuk mengadakan PRN.