CERITA Kisah Wanita Dipaksa Gugurkan Anak Demi Polisi Negara China - Kisah Feng Jianmei

dasar-anak-seorang-china-bunuh-anak-demi-kerajaan.jpg

Kisah Wanita Dipaksa Gugurkan Anak Demi Polisi Negara China

Bermula pada penghujung era 60-an, kerajaan komunis China di bawah pentadbiran Mao Zedong memperkenalkan dasar kerajaan yang mengehadkan jumlah anak untuk setiap keluarga, perlulah tidak melebihi 2 orang.

Bagaimanapun, angka itu tetap dikatakan gagal untuk mengawal kadar populasi China yang dirasakan terlalu tinggi mengakibatkan kerajaan China memperkenalkan dasar yang lebih ketat; polisi satu keluarga satu anak pada tahun 1979.
Dengan pengenalan undang-undang itu, beberapa peraturan baru diperkenalkan bagi memastikan kejayaan dasarnya. Semua keluarga perlu memastikan kelahiran tunggal mereka didaftarkan, bagi membolehkan bekalan pil dan peralatan pencegah kehamilan dibuat selepas itu.

Walaupun begitu, berikutan jumlah penduduk yang terlalu ramai - pasti ada kes di mana kandungan terbentuk tanpa kawalan; dianggap melanggar peraturan kerajaan negara.
Apa yang akan berlaku pada kandungan itu?

Kisah Feng Jianmei​

feng-jianmei-selepas-kandungannya-digugurkan.jpg

Pada bulan Jun 2012, seorang ibu muda bernama Feng Jianmei berhadapan detik paling mendebarkan dalam hidupnya.
Kandungan yang sudah berusia 7 bulan dalam perutnya sihat serta sedang membesar dengan baik sekali. Deng Jiuyan, suaminya juga tidak sabar menantikan anak kedua mereka lahir.

Tetapi Feng dan Deng tahu kelahiran itu bakal membawa kepada mereka bermacam jenis masalah, bukan disebabkan oleh anak tersebut tetapi kerana undang-undang kerajaan China yang menghalang anak itu hak untuk hidup.
Pasangan itu sudah pun dikurniakan seorang anak perempuan berusia 6 tahun. Kedua-duanya juga sedar tentang peraturan pemilikan lebih seorang anak di China, namun berdegil untuk cuba menimang zuriat baru. Apa sangat yang kerajaan mereka boleh lakukan?
Perasaan mereka juga diperkuatkan lagi dengan permintaan kedua ibu bapa kedua-dua pihak yang mahukan seorang lagi cucu, jadi Feng dan Deng memberanikan diri melakukan sesuatu yang sangat dilarang kerajaan China - menimang cahaya mata kedua.

Sudah berapa ramai bayi hilang nyawa di China?​

china-pengguguran-bayi.jpg

Undang-undang yang mengawal jumlah anak di China mewajibkan mana-mana pasangan yang ditangkap, membayar kompaun 40,000 yuan (sekitar RM25,000) sebagai ganti rugi kepada kerajaan dalam menangung perbelanjaan yang diperlukan.
Tidak diketahui berapakah jumlah yang telah dikutip kerajaan China sejak undang-undang ini diperkenalkan, tetapi sesetengah pihak menganggarkan melebihi 2 trilion yuan. Bagi mereka yang berjaya membayar kompaun itu serta 'menebus' nyawa mereka, pasangan ibu bapa ini bolehlah dianggap bernasib baik.

Malangnya, bukan semua pasangan mampu menanggung kompaun yang dikenakan. Seandainya kompaun gagal dilunaskan, kerajaan China tiada jalan lain melainkan agar pengguguran mandatori dijalankan bagi memastikan janin dapat dibunuh dan pasangan kekal patuh dengan perintah kerajaan.
Kes-kes pengguguran yang akan diselia oleh pegawai kerajaan peringkat daerah yang dilantik oleh jawatan kuasa khas perancanan keluarga. Berdasarkan rekod, sejak diperkenalkan pada tahun 1971 yang mengehadkan setiap keluarga kepada dua orang anak; angka pengguguran dilaporkan 4 ke 5 juta nyawa setiap tahun.
Bermula daripada tahun 1979 di mana jumlah kelahiran anak dihadkan hanya kepada seorang, angka pengguguran mencanak naik kepada 7.8 juta orang dan kekal pada purata tersebut sehingga tahun 2017.
Tahun 1983 dan 1991 mencatatkan angka tertinggi di mana 14 juta nyawa dilaporkan digugurkan.

Bagaimana bayi digugurkan bagi pasangan malang?​

ibu-di-china-nasib-malang.png

Walaupun setiap tahun jutaan nyawa terpaksa ditamatkan hanya untuk memenuhi perintah kejam kerajaan China, kritikan paling lantang diterima negara itu berlaku selepas insiden yang menimpa Feng Jianmei didedahkan dalam internet oleh ahli keluarga mereka sendiri yang tidak dapat menerima apa yang berlaku.
Pendedahan wajah sedih Feng dengan janin tujuh bulan yang tidak lagi bernyawa dibaringkan di sebelah ibunya, mendapat simpati masyarakat China. Apatah lagi selepas didedahkan bagaimana pegawai kerajaan China bertindak mengeluarkan anak mereka.

Selepas didapati melanggar peraturan 1 anak 1 keluarga, Feng dan Deng diminta untuk membayar kompaun yang dikenakan namun syarat itu gagal dipenuhi. Disebabkan itu, Feng didakwa atas tuduhan melanggar dasar kerajaan, ditangkap dan dipaksa untuk menandatangani persetujuan bagi membenarkan penguguran dijalankan.
Cara Feng ditahan juga menggerunkan; kepalanya diselubungi dengan kain hitam, diculik dan dibawa ke pusat tahanan, dikurung selama 3 hari. Selepas 3 hari, pegawai kerajaan menelefon Deng bertanya tentang wang kompaun, memberikan Deng peluang terakhir menyelamatkan anaknya.
Mendapat reaksi negatif, pegawai itu memutuskan talian. Feng yang ditahan, diikat ke atas katil lalu disuntik dengan bahan pendorong kelahiran, bagi memaksa janin tersebut dilahirkan pada waktu itu juga. Proses itu berjalan pantas.
Sejam kemudian, Feng sendiri menelefon suaminya memaklumkan apa yang telah berlaku, meminta agar suaminya berhenti berusaha mengumpulkan dana. Anak kedua mereka yang sudah dikandung sebaik mungkin, sudah tidak lagi bernyawa meninggal dunia disebabkan kekurangan oksigen.
Mayat anak itu diletakkan di sebelah ibunya, sementara menunggu ahli keluarga Feng hadir bagi membawa pulang wanita tersebut serta anak mereka untuk dikebumikan. Gambar Feng dan bayi tidak berdosa itu yang sempat diambil secara sembunyi, dikongsikan untuk tatapan semua.

Kisah Feng dan Deng membuka semula perbualan masyarakat China​

feng-jianmei-foto-menayayat-hati.jpg


Imej Feng dan anaknya mula tular di laman mikro blog Sina Weibo dimuat naik pada 11 Jun 2012 ketika Feng masih terlantar di hospital, mendapat reaksi keras pihak-pihak yang lantang bersuara. Kritikan keras terhadap polisi kerajaan China serta tindakan kerajaan yang melampau menjadi perbualan hangat ketika itu.
Berikutan reaksi tersebut, kerajaan China cuba mengawal penularan dengan membuang mana-mana pautan dan perkongsian yang berkait, tetapi disebabkan perkongsian yang terlalu besar menyebabkan banyak yang terlepas daripada sekatan.
Media China bukan milik kerajaan mula memaparkan imej Feng dengan anaknya, mencetuskan perdebatan hangat tentang tujuan sebenar dasar pengawalan populasi. Media-media luar mula melaporkan tentang nasib Feng bermula pada 13 Jun 2012, mendedahkan lagi isu tersebut kepada masyarakat antarabangsa.

Reaksi kerajaan China​

polisi-1-keluarga-1-anak-china.jpeg

Berbeza dengan pendedahan yang dilakukan ahli keluarga Feng dan Deng, kerajaan China cuba menjustifikasikan tindakan yang dilakukan telah berlaku semuanya atas persetujuan Feng sendiri.
Disebabkan oleh kegagalan membayar kompaun, pasangan tersebut dikategorikan tidak layak untuk menimang cahaya mata kedua. Kompaun itu pula, menurut jurucakap kerajaan tempatan - merupakan deposit dalam memastikan Feng dan Deng memenuhi semua syarat yang ditetapkan sebelum Feng dibenarkan terus mengandungkan anaknya.

Siasatan yang dijalankan kerajaan China mendapati berlakunya pelanggaran polisi oleh pihak penguatkuasa tempatan yang didapati gagal memenuhi kuota tangkapan ke atas pasangan yang melanggar polisi satu anak satu keluarga. Disebabkan itu, Feng menjadi salah seorang sasaran dalam usaha memastikan kuota tahun tersebut dipenuhi.
Disebabkan oleh tindakan itu yang disifatkan sebagai melanggar polisi negara, pengguran bayi kandungan Feng yang dijalankan secara paksaan diisytiharkan berlaku dengan melanggar undang-undang. Pasangan itu tidak diberikan ruangan yang secukupnya untuk menyelamatkan anak mereka serta didesak untuk memberikan keizinan ke atas apa yang berlaku.
Berikutan daripada keputusan itu, ketua kepada agensi pengurusan populasi wilayah Zhenping di mana mereka menetap dipecat dan pegawai perubatan yang terlibat dalam pengguguran bayi Feng dikenakan tindakan disiplin.

Deng cuba menyaman kerajaan China​

suami-saman-kerajaan-china.jpg

Merasakan ketidak adilan telah berlaku, Deng (gambar di atas) cuba untuk berunding dengan pihak-pihak di Beijing agar melalui peguam agar tindakan saman dapat dilakukan. Bagaimanapun langkah ini mendapat reaksi negatif sesetengah kumpulan yang merasakan apa yang cuba dilakukan Deng sebagai satu pengkhianatan.

Nasib Deng lebih sukar selepas satu temuramah bersama dengan media barat diterbitkan, mengakibatkan semakin banyak pihak samseng upahan, dipercayai berkait dengan pegawai-pegawai yang dipecat mula mengekorinya.
Deng terpaksa menyembunyikan diri selepas diserang beberapa kumpulan yang marah dengan tindakannya mahu menuntut bela kematian anaknya. Selepas beberapa insiden, Deng Jiyuan berjaya tiba ke Beijing bertemu dengan wakil kerajaan ditemani peguam.
Selepas perbincangan, pemerintah China bersetuju untuk mengarahkan pihak terbabit iaitu kerajaan tempatan Zhenping membayar ganti rugi sebanyak 70,600 yuan (RM43,200) ke atas kesilapan yang dilakukan.
Pada tahun 2015, selepas bermacam kritikan dihamburkan kepada mereka - kerajaan China bersetuju untuk meminda undang-undang mereka, membenarkan setiap pasangan memiliki 2 orang anak disebabkan oleh masalah lambakan warga tua dalam masyarakat mereka, menyebabkan kekurangan pelapis generasi muda yang mampu memenuhi permintaan industri.
Sehingga kini wanita-wanita China terus dihantui dengan igauan ngeri kehilangan anak sendiri hanya disebabkan dasar kerajaan. Kami doakan pemimpin kerajaan China turut sama dihantui perkara serupa.
 
Top