Kes Kematian Bayi, JKNK Siasat Dakwaan Hospital Cuai

Bayi berusia dua bulan yang didakwa meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan melakukan siasatan yang lebih menyeluruh dan terperinci terhadap dakwaan kecuaian, yang mana seorang bayi berusia dua bulan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan.
Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin berkata, bayi berkenaan ketika kejadian, sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, Jumaat lalu.
Menurut beliau, JKNK amat memandang serius perkara berkenaan, dan siasatan tersebut bakal meliputi setiap aspek berkaitan.
“Pihak pengurusan hospital telah menjalankan siasatan awal dan mendapati, pesakit dimasukkan ke HRPZ II pada 5 Februari akibat cirit-birit yang melampau selama beberapa hari yang mengakibatkan pelbagai komplikasi,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada hantaran satu video yang tular di Facebook, menggunakan akaun ‘Ola Ola’ pada 19 Februari lalu.
Menerusi video yang sudah meraih lebih 130,000 tontonan itu, ibu bayi berkenaan mendakwa, anaknya dipaksa berpuasa selama lima hari selain turut diberikan susu yang sudah tamat tempoh dan ubat tidur tanpa keizinannya.
Susulan insiden, pihak HRPZ II semalam mengadakan pertemuan dengan waris keluarga, bagi mendapatkan keterangan.
Pengarah HRPZ II Datuk Dr Selasawati Ghazali pula berkata, pihaknya sudah mengadakan siasatan membabitkan pakar perubatan, doktor serta jururawat yang bertanggungjawab dalam merawat bayi berkenaan.