Kadar Bayaran Gaji Minimum Disemak Semula - M Saravanan
Datuk Seri M Saravanan - Gambar fail
KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang melakukan semakan dan kajian semula kadar bayaran gaji minimum, selaras dengan Akta Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, terdapat majikan yang telah mula membayar gaji minimum pada kadar RM1,500 walaupun semakan kasar terhadap aspek tersebut belum diputuskan dan dimuktamadkan kerajaan.
“Pada ketika ini, kadar gaji minimum di Malaysia adalah sebanyak RM1,200 sebulan di kawasan Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran.
“Bagi kawasan lain, kadar gaji minimum adalah sebanyak RM1,100 yang telah berkuat kuasa sejak 2020,” katanya hari ini.
Beliau pada 5 Februari lalu, Saravanan dilaporkan berkata, pekerja dijangka menikmati penetapan kadar gaji minimum yang baharu, pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini.
Katanya, walaupun nilai sebenar kadar gaji minimum baharu itu belum dimuktamadkan, pihaknya positif ia boleh direalisasikan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri, sebelum hujung tahun ini.
Dalam pada itu, Saravanan berkata, pihaknya menghargai AEON Co (M) Bhd dan Westports Holdings yang telah menawarkan gaji pada kadar RM1,500 kepada para pekerja mereka.
“Kedua-dua majikan itu menunjukkan contoh yang baik dengan keprihatinan mereka terhadap permasalahan pekerja, walaupun ekonomi masih terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Sehubungan itu, saya ingin menyeru kepada majikan lain agar mengambil contoh pendekatan syarikat AEON CO (M) BHD dan Westports Holdings, dan berusaha menawarkan gaji pekerja pada kadar melebihi gaji minimum sedia ada,” ujarnya.
Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020 semasa pembentangan Bajet 2020 dengan jumlah kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan.