43 Kematian Baharu COVID-19, Johor, Selangor Catat Angka Tertinggi

Gambar hiasan
Sebanyak 43 kes kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 direkodkan setakat tengah malam tadi.
Berdasarkan data di laman sesawang COVIDNOW, 13 kes kematian berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kematian mencecah 32,390 dengan 6,586 daripadanya adalah kes BID.
Selangor dan Johor masing-masing merekodkan 10 kematian baharu pada Isnin dengan empat daripada jumlah keseluruhan di Selangor adalah BID, manakala Johor mencatatkan satu kes.
Kedah melaporkan tujuh kematian baharu dengan empat daripadanya adalah BID manakala Kelantan (dua kematian, satu BID), Sabah (lima kematian, satu BID), Pulau Pinang (dua kematian, satu BID), manakala Pahang mengesahkan dua kematian.
Melaka, Negeri Sembilan, Sarawak, Terengganu dan Kuala Lumpur masing-masing merekodkan satu kematian.
Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 258,985 kes aktif dilaporkan dengan 245,875 individu sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 5,055 individu pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), manakala 7,783 sedang menerima rawatan di hospital.
Kira-kira 108 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 164 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sebanyak 17,749 kes sembuh turut dilaporkan.
Dalam pada itu, sebanyak 137,307 dos vaksin diberikan semalam, iaitu 83,479 dos penggalak, 52,804 dos pertama dan 1,024 dos lengkap.
Setakat ini, kira-kira 25,744,172 atau 78.8 peratus penduduk di negara ini sudah lengkap divaksinasi.